MEDIA
SIARAN
BERITA
Promosi Produk Getah Malaysia Untuk Sektor Automotif dan Pengangkutan di Automechanika Shanghai 2020
Pameran Automechanika Shanghai 2020 edisi ke-16 yang diteruskan meskipun dalam keadaan penularaan wabak COVID-19 di dunia telah menutup tirainya dengan kejayaan. Acara empat hari itu berlangsung dari 2 - 5 Disember 2020 di Pusat Pameran dan Konvensyen Nasional (NECC), Shanghai, China. Menjangkau enam benua, pameran tersebut telah mengumpulkan 3,845 peserta pameran dari 29 negara dan wilayah serta sejumlah 79,863 pelawat dari dalam negara. Kesemua peserta pameran asing telah diwakili oleh wakil tempatan di China, termasuk MRC.
Walaupun terdapat ketidakpastian mengenai wabak tersebut, MRC berusaha untuk menyertai pameran ini untuk mempamerkan pelbagai produk getah berkualiti buatan Malaysia untuk sektor automotif dan pengangkutan seperti komponen getah automotif, sarung tangan industry, bahan tayar celup serta getah hijau seperti Ekoprena dan Pureprena. MRC hanya menerima pertanyaan perdagangan daripada penduduk tempatan kerana China masih menangguhkan kemasukan kebanyakan warganegara asing. MRC juga menggunakan papan iklan yang sergam di tempat-tempat strategik sekitar kawasan pameran untuk meningkatkan kesedaran tentang produk getah buatan Malaysia di kalangan bakal pembeli.
Edisi seterusnya dijadualkan akan berlangsung pada 24 - 27 November 2021 di tempat yang sama.
22 DEC 2020
Promosi Produk Getah Malaysia Untuk Sektor Automotif dan Pengangkutan di Automechanika Shanghai 2020
Kejayaan Padanan Perniagaan Maya untuk Pengeluar Malaysia Melalui MRC E-Global Sourcing Mission (e-GSM)
Oleh kerana pandemik Covid-19 telah menjejaskan perjalanan dan pergerakan orang ramai, termasuk komuniti perniagaan di seluruh dunia, MRC telah mengambil inisiatif untuk mengadakan satu platform padanan perniagaan dalam talian yang dinamakan MRC e-Global Sourcing Mission (e-GSM) untuk membolehkan pengeluar getah dan produk getah Malaysia bertemu dengan pembeli berpotensi secara maya. Program e-GSM yang telah berlangsung dari 1-4 Disember 2020 ini menyediakan platform dalam talian yang selamat bagi pembeli global untuk bertemu dengan pengeluar Malaysia secara maya untuk mendapatkan getah dan produk getah berkualiti dari Malaysia.
Sebanyak 24 padanan perniagaan telah diselaraskan di antara 12 pembeli berpotensi dengan sembilan pengeluar getah dan produk getah Malaysia. Pembeli berpotensi yang menyertai dalam e-GSM ini adalah dari Brazil, India, Indonesia, dan Poland yang berminat untuk mendapatkan komponen getah automotif, produk getah kejuruteraan, telapak tayar dan bahan tayar celup, busa getah dan tilam getah, serta bahan getah khas - Ekoprena dan Pureprena.
10 DEC 2020
Kejayaan Padanan Perniagaan Maya untuk Pengeluar Malaysia Melalui MRC E-Global Sourcing Mission (e-GSM)
Penyertaan Pertama MRC di virtual.MEDICA 2020
MRC telah menyertai edisi pertama virtual.MEDICA 2020 yang diadakan dari 16 – 19 November 2020. Terdapat lebih daripada 1,300 peserta pameran maya dari 61 negara telah mengambil bahagian dalam acara ini. Sejumlah besar produk kesihatan berjumlah lebih daripada 15,000 produk telah dipamerkan di bilik pameran dalam talian dan lebih daripada 100 sesi web langsung telah dibentangkan untuk komuniti kesihatan. Lebih daripada 45,000 pelawat profesional dari 169 negara telah berhubung dalam platform maya ini yang menghasilkan 405,000 tayangan halaman dengan 78% adalah pelawat dalam talian antarabangsa.
MRC menampilkan sejumlah 38 peranti perubatan getah di bawah lapan kategori produk yang berbeza dalam acara ini. Buat pertama kalinya, MRC memperkenalkan direktori peranti perubatan getah animasi yang baru khusus untuk acara maya ini. Produk-produk ini termasuk pelbagai jenis sarung tangan perubatan serta produk bukan sarung tangan seperti kondom, kateter, alat pernafasan dan lain-lain. Sepanjang empat hari acara maya ini berlangsung, jumlah tontonan ke MRC Marketplace telah mencatatkan peningkatan sebanyak 50% setiap hari. MRC juga mendapat banyak pertanyaan perdagangan yang menggalakkan dan kebanyakan pertanyaan adalah berkenaan dengan sarung tangan perubatan, terutamanya sarung tangan pemeriksaan nitril dan lateks. Kebanyakan pertanyaan adalah dari negara-negara Eropah dan Asia.
Platform Matchmaking di virtual.MEDICA telah berjaya menghubungkan MRC dengan sebilangan pembeli berpotensi yang berminat untuk mendapatkan peranti perubatan getah dari Malaysia. Selain daripada MRC, tiga pengeluar peranti perubatan getah Malaysia yang lain iaitu Alliance Rubber Products, Diptech Industries dan Smart Glove Corporation turut mengambil bahagian dalam platform digital ini dan mempamerkan produk mereka dalam acara ini untuk terus berhubung dengan pemain kesihatan global.
Edisi seterusnya MEDICA akan diadakan pada 15 – 18 November 2021 sebagai acara hibrid yang juga mengandungi platform langsung untuk pelawat profesional ke pusat pameran perdagangan Düsseldorf.
26 NOV 2020
Penyertaan Pertama MRC di virtual.MEDICA 2020
MRC Mempromosikan Komponen Getah Automotif di Automechanika Shanghai 2020
MRC meneruskan penyertaan di dalam Automechanika Shanghai 2020, yang merupakan suatu pameran tahunan utama bagi industri automotif di China, terutamanya segmen selepas jualan. Pameran antarabangsa ini menandakan edisi ke-16 dan telah menjadi pameran perdagangan terbesar Asia bagikomponen, aksesori, peralatan dan perkhidmatan automotif. Pada tahun ini, pameran perdagangan tersebut bertemakan ‘Navigating a dynamic automotive ecosystem’ dan akan berlangsung dari 2 hingga 5 Disember 2020 di National Exhibition and Convention Centre, Shanghai, China.
Buat pertama kalinya dalam sejarah pameran tersebut, Automechanika Shanghai 2020 telah memperkenalkan platform pameran maya dalam talian untuk menarik pengunjung luar negara yang tidak dapat menghadiri pameran secara fizikal kerana COVID-19. Platform AMS Live akan membolehkan pengunjung berinteraksi dengan peserta pameran secara langsung serta menyediakan akses ke webinar mengenai inovasi terkini dalam industri automotif bermula dari 30 November hingga 6 Disember 2020.
Selain MRC, terdapat dua syarikat komponen getah automotif dari Malaysia yang akan menyertai pameran ini secara maya melalui platform AMS Live. Gerai MRC, yang akan dikendalikan oleh perwakilan MRC Shanghai, akan mempamerkan pelbagai komponen getah automotif berkualiti tinggi, bahan tayar celup dan getah hijau seperti Ekoprena dan Pureprena. Kunjungi gerai MRC di Hall 1.1, Booth 1.1B74, untuk mendapatkan produk getah berkualiti tinggi dari Malaysia!
25 NOV 2020
MRC Mempromosikan Komponen Getah Automotif di Automechanika Shanghai 2020
Mempromosikan Produk Getah Buatan Malaysia melalui E-Global Sourcing Mission (e-GSM) MRC
Pandemik COVID-19 yang melanda kini telah menuntut banyak syarikat untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu dan banyak perniagaan telah mengadakan pertemuan maya. Sehubungan itu, MRC ingin mengumumkan penganjuran E-Global Sourcing Mission (e-GSM) buat julung kalinya yang akan berlangsung dari 1 – 31 Disember 2020. E-GSM adalah sebuah program yang menyediakan platform dalam talian yang selamat bagi pembeli global untuk mengenal pasti serta bertemu dengan pengeluar Malaysia untuk mendapatkan produk getah berkualiti dari Malaysia.
Produk getah utama yang dipromosikan di dalam program e-GSM adalah Komponen Getah Automotif, Produk Getah Kejuruteraan, Telapak Tayar & Bahan Tayar Celup, Busa Lateks & Tilam Lateks, serta Bahan Getah Khusus(Getah Hijau).
Pembeli, pengimport atau pengedar yang berminat dijemput untuk mendaftar melalui Borang Pendaftaran Dalam Talian e-GSM (http://www.myrubbercouncil.com/egsm/buyer/). Pendaftaran dibuka – mulai sekarang sehingga 22 November 2020. Untuk maklumat lebih lanjut, sila hubungi En. Syazwan ([email protected]) atau Cik Zafirah ([email protected]).
16 NOV 2020
Mempromosikan Produk Getah Buatan Malaysia melalui E-Global Sourcing Mission (e-GSM) MRC
Kejayaan Penyertaan MRC dalam CMEF Spring 2020
MRC telah menyertai pameran China International Medical Equipment Fair yang ke-83. Pameran tersebut yang dikenali sebagai CMEF Spring telah berlangsung dari 19 – 22 Oktober 2020 di National Exhibition and Convention Centre, Shanghai, China. Walaupun pameran ini menghadapi penangguhan dan ketidakpastian akibat pandemik COVID-19, MRC tetap meneruskan penyertaannya bersama tiga pengeluar peranti perubatan getah dan pengeksport Malaysia. Pegawai MRC dari cawangan Shanghai telah menghadiri dan menjaga gerai MRC sewaktu pameran ini berlangsung.
Pavilion MRC menarik minat pengunjung yang berminat untuk mendapatkan peranti perubatan getah buatan Malaysia yang berkualiti tinggi, di mana sarung tangan perubatan merupakan produk yang popular kerana pandemik Covid-19. MRC turut menerima banyak pertanyaan perdagangan yang menggalakkan meskipun kekurangan pelawat antarabangsa kerana sekatan perjalanan yang dikenakan di China untuk mengekang penyebaran COVID-19. Sesi padanan perniagaan serentak antara syarikat Malaysia dan bakal pembeli telah dikoordinasikan oleh MRC sepanjang pameran perdagangan selama empat hari dengan catatan jumlah jualan berpotensi yang menggalakkan. Terdapat peningkatan ketara bagi jumlah pengikut baru di media sosial yang telah mendaftar untuk akaun MRC. Edisi seterusnya pameran ini akan diadakan pada 13-16 Mei 2021 di tempat yang sama.
09 NOV 2020
Kejayaan Penyertaan MRC dalam CMEF Spring 2020
Mempromosikan Peranti Perubatan Getah Malaysia di virtual.MEDICA 2020
MEDICA 2020, platform maklumat dan komunikasi terkemuka di dunia untuk teknologi perubatan dan industri pembekal yang biasanya diadakan di Dusseldorf, Jerman telah bertukar menjadi virtual.MEDICA 2020 susulan pandemik coronavirus yang dihadapi di seluruh dunia pada masa ini. Acara ini akan berlangsung secara dalam talian dari 16 – 19 November 2020, berfungsi sebagai platform global perubatan yang penting bagi para pemain industri untuk memindahkan pengetahuan dan memantau perkembangan terkini.
virtual.MEDICA 2020 terdiri daripada tiga bidang iaitu ‘Conference Area' di mana pengunjung maya boleh mengakses kuliah yang menarik, kumpulan perbincangan, persembahan langsung serta persembahan produk dan syarikat, ‘Exhibition Space’ yang membolehkan para peserta pameran mempamerkan produk dan inovasi mereka secara maya serta ‘Networking Plaza’ yang membolehkan perjumpaan rangkaian dan video melalui sesi padanan perniagaan.
Majlis Getah Malaysia (MRC) berterusan meneroka pengalaman baru sebagai peserta pameran maya dan menjadi titik pertemuan kepada dunia untuk mendapatkan peranti perubatan getah berkualiti tinggi dari Malaysia. Terokai virtual.MEDICA 2020 di https://virtual.medica-tradefair.com/ untuk berhubung dengan MRC dan mendapatkan maklumat lanjut tentang kelebihan dan keupayaan pengeluar Malaysia dalam menghasilkan pelbagai jenis peranti perubatan getah berkualiti tinggi yang diperlukan oleh industri penjagaan kesihatan global.
03 NOV 2020
Mempromosikan Peranti Perubatan Getah Malaysia di virtual.MEDICA 2020
Taklimat Tender Global Branding Campaign 2021 untuk produk getah buatan Malaysia
Majlis Getah Malaysia (MRC) mempelawa agensi pengiklanan dan kreatif untuk menyertai taklimat tender Global Branding Campaign 2021 untuk produk getah buatan Malaysia.
Hanya agensi pengiklanan dan kreatif yang memenuhi prasyarat layak untuk menyertai taklimat tender ini. Kriteria prasyarat untuk agensi pengiklanan dan kreatif adalah seperti berikut:-
- Sebuah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
- Syarikat tersebut mestilah sekurang-kurangnya telah ditubuhkan untuk tiga tahun.
- Mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun dalam mengendalikan pengiklanan dan kreatif. Sampel penerangan ringkas tentang agensi dan pengalaman sekurang kurangnya tiga tahun hendaklah disertakan
- Portfolio kerja Perlu disertakan sampel perfolio kerja berkenaan penjenamaan seperti di bawah:
- Kempen Kreatif Agensi perlu menyerahkan sampel portfolio kerja tentang kempen penjenamaan seperti sampel kerja, senarai pelanggan, pengalaman pemasaran)
- Pengalaman dalam pelbagai media Agensi perlu menunjukkan sampel portfolio kerja dengan pelbagai media berkenaan pengiklanan termasuk media tradisional dan media atas talian dan juga laman media sosial
- Ahli dan pasukan projek Menyerahkan profil dan pengalaman termasuk jumlah ahli dan perjumpaan dengan ahli pasukan projek
- Rujukan Sekurang-kurangnya tiga rujukan pelanggan diserahkan dan infomasi yang diberikan wajib dilampirkan dengan nama pelanggan, alamat nombor telefon dan alamat emel.
- Agensi tidak mengenakan yuran untuk proses tender dan boleh membuat pembentangan pada masa yang ditetapkan.
Pengalaman dan portfolio agensi
Maklumat yang dikemukakan oleh agensi akan disahkan oleh MRC dan agensi pengiklanan dan kreatif yang memenuhi prasyarat akan diberitahu kemudian. Syarikat yang terpilih dikehendaki untuk mengesahkan kehadiran mereka ke taklimat tender terlebih dahulu dengan Cik Thania Ammanena. Syarikat yang gagal menghantar wakil mereka ke taklimat tersebut akan dikecualikan daripada proses tender.
Butiran taklimat tender adalah seperti berikut:
TARIKH : Isnin, 26 Oktober 2020
JAM : 10.00 pagi
TEMPAT : Taklimat Atas Talian Tender
09 OCT 2020
Taklimat Tender Global Branding Campaign 2021 untuk produk getah buatan Malaysia
Penyertaan Berterusan Pavilion MRC Malaysia di CMEF Spring 2020
CMEF Spring 2020 yang pada asalnya dijadualkan pada 9 – 12 April 2020 telah ditangguhkan sebanyak dua kali dan kini telah dijadualkan semula pada 19 – 22 Oktober 2020 sebagai langkah pencegahan dan kawalan daripada pandemik Covid-19. CMEF Spring dianggap sebagai pameran perdagangan terbesar di rantau Asia Pasifik untuk peranti perubatan, produk dan perkhidmatan yang berkaitan. CMEF menyediakan perkhidmatan untuk keseluruhan rantaian nilai peranti perubatan bermula daripada pengilang produk kepada penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pengguna akhir. Pameran perdagangan ini meliputi 15,000 produk seperti pengimejan perubatan, peralatan IVD dan reagen, elektronik perubatan, optik perubatan, pertolongan cemas, peranti pemulihan, kejururawatan, teleperubatan, peranti boleh pakai dan perkhidmatan penyumberan luar.
MRC meneruskan penyertaannya di pameran tersebut sebagai penganjur pavilion negara bersama dengan tiga pengeluar peranti perubatan getah dan pengeksport Malaysia. Pameran ini akan dianjurkan di National Exhibition and Convention Centre, Shanghai, China.
Pavilion MRC Malaysia akan mempamerkan pelbagai peranti perubatan getah yang inovatif dan berkualiti tinggi. Kunjungi Pavilion MRC (MREPC) Malaysia di Dewan 5.1, Gerai T27 untuk mendapatkan peranti perubatan getah yang bermutu dari Malaysia.
05 OCT 2020
Penyertaan Berterusan Pavilion MRC Malaysia di CMEF Spring 2020
29 SEP 2020
Siaran Akhbar Penjenamaan Semula Majlis Getah Malaysia
Penyertaan MRC di Pameran Maya Sulung EVM Asia 2020
MRC telah menyertai edisi pertama pameran maya EVM Asia yang dianjurkan oleh Malaysia Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dengan kerjasama Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii). Pameran maya tersebut telah berlangsung dari 8 – 10 September 2020. Penganjur acara ini melaporkan bahawa ia menerima lebih 1,000 pelawat dari 13 negara yang mengunjungi pameran maya ini sepanjang tiga hari berlangsung. Acara ini menggabungkan 89 peserta pameran maya yang mewakili enam buah negara termasuk Malaysia, Jepun, Korea Selatan, China, Singapura dan Thailand. Selain MRC, tiga pengeluar produk getah Malaysia juga turut menyertai pameran maya ini iaitu Kossan Industries, Doshin Rubber Products dan Kumpulan Jebco. Selain dari pameran maya, acara ini juga memperlihatkan inovasi terkini melalui melalui platform produk baru seperti pengecasan kenderaan elektrik, produk dan sistem RFID. Gerai maya MRC telah menampilkan maklumat komprehensif tentang kemampuan dan keupayaan pengeluar Malaysia dalam menghasilkan pelbagai komponen getah automotif berkualiti tinggi. Gerai ini juga menyediakan platform Live Chat untuk pegawai MRC berkomunikasi secara terus dengan pengunjung.
17 SEP 2020
Penyertaan MRC di Pameran Maya Sulung EVM Asia 2020
Penyertaan MREPC di dalam Pameran Maya EVM Asia
MREPC akan mengambil bahagian di dalam pameran antarabangsa pertama di Asia khusus dalam pembuatan kenderaan elektrik, hibrid dan autonomi yang dikenali sebagai EVM ASIA 2020. Pameran ini adalah acara “hibrid” terbesar di rantau ini yang melibatkan kenderaan elektrik dan hybrid, teknologi pengeluaran dan alat ganti kenderaan. Bertemakan “The Future of Mobility Technology”, pameran tersebut pada awalnya yang dijadualkan berlangsung pada 24 - 26 Mac 2020 di Malaysian International Exhibition and Trade Centre (MITEC), Kuala Lumpur telah ditunda sebanyak dua kali berikutan isu pandemik COVID-19. Sehubungan itu, EVM ASIA 2020 akan membawa konsep pameran hibrid yang merangkumi edisi maya yang dijadualkan berlangsung dari 8 - 10 September 2020 dan edisi langsung yang akan diadakan dari 23 - 25 Mac 2021 di MITEC, Kuala Lumpur.
EVM ASIA 2020 dianjurkan oleh Malaysia Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dengan kerjasama Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii). Melihat kepada industri automotif yang sedang menuju ke arah elektrik dan kenderaan tenaga baharu serta penyelesaian pergerakan, pameran ini dijangka membawa bersama pengeluar, pemasang dan penjual automotif dari seluruh rantau untuk mengumpulkan pandangan terkini mengenai inovasi pembuatan bahagian, komponen, perisian dan sistem pelayaran, keselamatan dan lain-lain lagi untuk kenderaan elektrik. Perkembangan pesat dan penambahbaikan dalam teknologi terkini yang diperkenalkan secara berkala diharapkan dapat meningkatkan permintaan pengguna untuk kenderaan yang lebih mesra alam.
Edisi maya ini akan menjadi antara yang pertama di rantau Asia yang menggabungkan sejumlah rekaan inovasi terkini yang mempamerkan produk-produk baharu, menjalin hubungan dan membuka peluang perniagaan. Pengunjung maya juga berpeluang untuk berinteraksi bersama-sama dengan para peserta pameran secara dalam talian dan peserta pameran juga boleh mengadakan ceramah atau persidangan web yang telah dirakam terlebih dahulu untuk pengunjung maya.
Gerai maya MREPC akan menampilkan kandungan komprehensif tentang keupayaan pengeluar Malaysia dalam menghasilkan pelbagai komponen getah automotif buatan Malaysia yang berkualiti tinggi. Pengunjung maya juga boleh berhubung dengan wakil MREPC melalui platform Live Chat untuk mendapatkan maklumat lanjut ketika tempoh pameran berlangsung. Sila layari http://www.evmasia.com/ untuk berhubung dengan MREPC dan juga untuk mengetahui lebih lanjut tentang komponen getah automotif buatan Malaysia yang berkualiti tinggi.
02 SEP 2020
Penyertaan MREPC di dalam Pameran Maya EVM Asia
Gerai Maya Pertama MREPC di AIDS 2020: Virtual
MREPC telah menyertai buat pertama kali sebagai peserta pameran maya dalam AIDS 2020: Virtual yang diadakan dari 6 - 10 Julai 2020. Persidangan ini dianjurkan oleh International AIDS Society (IAS) dan dihadiri secara maya oleh ribuan orang dari lebih 180 negara. AIDS 2020: Virtual membolehkan para perwakilan untuk mengakses dan terlibat secara maya dengan sains, sokongan dan pengetahuan HIV terkini yang secara tradisional disampaikan dalam persidangan. Persidangan tersebut juga menyaksikan Datuk Profesor Dr Adeeba Kamarulzaman mengambil peranan baharunya secara rasmi sebagai presiden IAS bagi penggal 2020-2022. Dr Adeeba yang merupakan pengerusi Pertubuhan AIDS Malaysia adalah orang Asia yang pertama dilantik untuk memegang jawatan tersebut.
Gerai maya MREPC telah menampilkan kandungan yang merangkumi keupayaan pengeluar Malaysia dalam menghasilkan pelbagai jenis kondom berkualiti tinggi yang terdiri daripada pelbagai tekstur, rasa, warna dan pembungkusan. Gerai tersebut juga menyediakan platform Live Chat untuk berkomunikasi secara segera dengan pengunjung. Gerai MREPC menerima lebih daripada 600 kunjungan maya sepanjang lima hari persidangan berlangsung. Kebanyakan pengunjung adalah dari Amerika Syarikat, Afrika Selatan, India, Mexico, Britain, Brazil dan Kanada.
17 JUL 2020
Gerai Maya Pertama MREPC di AIDS 2020: Virtual
MREPC Akan Menyertai Edisi Maya Pertama International AIDS Conference
Persidangan International AIDS Conference edisi ke-23 yang akan diadakan pada 6 – 10 Julai 2020 telah ditukarkan oleh pihak penganjur kepada AIDS 2020: Virtual disebabkan oleh pandemik Covid-19. AIDS 2020 akan menjadi edisi maya pertama International AIDS Conference. Persidangan yang diadakan dua tahun sekali ini dianjurkan oleh International AIDS Society. Persidangan ini adalah persidangan terbesar di dunia tentang isu HIV dan AIDS. Tahun ini, AIDS 2020: Virtual, dengan tema “Resilience”, membolehkan para perwakilan untuk mengakses dan terlibat secara maya dengan sains, sokongan dan pengetahuan HIV terkini yang secara tradisional disampaikan dalam persidangan. Persidangan ini akan menjadi gabungan sesi maya yang menarik, termasuk pra-persidangan, satelit, bengkel, poster interaktif, pameran komersial, Perkampungan Sejagat dan lain-lain aktiviti rangkaian komuniti kolaboratif yang dapat diakses dari seluruh dunia.
MREPC akan menyertai persidangan ini dan menjangkakan pengalaman yang menarik sebagai peserta pameran maya. Persekitaran 3D interaktif menawarkan peserta persidangan dari seluruh dunia untuk berinteraksi dengan peserta pameran yang berada di Dewan Pameran secara maya. Gerai maya MREPC akan menampilkan kandungan komprehensif tentang keupayaan pengeluar Malaysia dalam menghasilkan pelbagai jenis kondom buatan Malaysia berkualiti tinggi yang terdiri daripada pelbagai tekstur, rasa, warna dan pembungkusan. Pengunjung maya juga boleh berhubung dengan wakil MREPC melalui platform Live Chat untuk mendapatkan maklumat lanjut ketika tempoh pameran berlangsung.
19 JUN 2020
MREPC Akan Menyertai Edisi Maya Pertama International AIDS Conference
Tender Reka Bentuk dan Pembinaan Pavilion MREPC untuk Pameran Perdagangan Antarabangsa dari Julai hingga November 2020
Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) mempelawa kontraktor-kontraktor Malaysia untuk menyertai tender reka bentuk dan pembinaan pavilion MREPC untuk pameran perdagangan antarabangsa dari Julai hingga November 2020.
Hanya kontraktor gerai yang memenuhi prasyarat layak untuk menyertai tender ini. Kriteria prasyarat untuk kontraktor gerai adalah seperti berikut:-
- Sebuah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
- Syarikat tersebut mestilah ditubuhkan untuk sekurang-kurangnya tiga tahun.
- Mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya dua tahun dalam mengendalikan pameran perdagangan antarabangsa.
- Berpengalaman dalam mereka bentuk dan membina gerai khas untuk sekurang-kurangnya 6 projek bagi pameran perdagangan antarabangsa.
- Tidak digantung oleh MREPC untuk menyertai tender reka bentuk dan pembinaan gerai.
Syarikat yang berminat diminta menyediakan dokumen sokongan termasuk profil syarikat dan portfolio TERKINI untuk memenuhi prasyarat di atas dan menghantar dokumen tersebut kepada Cik Sheen di [email protected] sebelum jam 12 tengah hari, 23 Mac 2020 (Isnin).
Maklumat yang dikemukakan oleh syarikat akan disahkan oleh MREPC dan kontraktor atau syarikat gerai yang memenuhi prasyarat akan diberitahu kemudian. Kontraktor gerai yang memenuhi prasyarat akan menerima tender document melalui email pada 2 April 2020 Khamis.
13 MAR 2020
Tender Reka Bentuk dan Pembinaan Pavilion MREPC untuk Pameran Perdagangan Antarabangsa dari Julai hingga November 2020
Promosi Galas Getah Seismik di Persidangan Antarabangsa Tentang Bangunan Berdaya Tahan
Persidangan Antarabangsa Tentang Bangunan Berdaya Tahan yang kesembilan telah dianjurkan di Bali, Indonesia dari 13 - 15 Januari 2020 yang disertai oleh penyelidik dan jurutera dari seluruh dunia. Lebih dari 130 kertas kerja telah dibentangkan di persidangan tersebut yang bertemakan "Pelaburan untuk Mengurangkan Risiko Bencana dan Adaptasi Perubahan Iklim untuk Membangun Bandar Raya Berdaya Tahan". MREPC bersama-sama dengan pengeluar Malaysia, Doshin Rubber telah menyertai acara ini di bawah gerai berkonsep payung. MREPC juga telah berjaya memperolehi slot pembentangan sewaktu persidangan tersebut dan membentangkan kertas kerja bertajuk "Keperluan Redaman dalam Pengasingan Seismik untuk Perlindungan Struktur Ketika Gempa Bumi". Di persidangan tersebut MREPC menerima banyak pertanyaan daripada penyelidik dan pakar kejuruteraan yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang sistem pengasingan seismik, terutamanya Galas Getah Asli Redaman Tinggi dari Malaysia.
23 JAN 2020
Promosi Galas Getah Seismik di Persidangan Antarabangsa Tentang Bangunan Berdaya Tahan
Kunjungi Pavilion MREPC Malaysia di Arab Health 2020
Selama 45 tahun Arab Health telah muncul sebagai satu platform perniagaan penjagaan kesihatan yang terkemuka di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA). Tahun ini, Arab Health akan berlangsung dari 27 - 30 Januari 2020 di Dubai World Trade Centre. Acara ini dijangka akan menarik lebih dari 4,000 syarikat pempamer, 37 pavilion negara dan 55,000 peserta dari 159 buah negara. MREPC meneruskan usahanya untuk mempromosikan Malaysia sebagai sumber peralatan getah perubatan yang berkualiti dengan menganjurkan pavilionnya yang terbesar yang menempatkan 12 pengeluar dan pengeksport Malaysia. Pavilion MREPC Malaysia yang terletak di dalam dewan utama adalah lokasi yang sesuai untuk mendapatkan peralatan perubatan getah Malaysia yang berkualiti tinggi seperti sarung tangan perubatan, kondom dan kateter Foley. Kunjungi pavilion MREPC Malaysia di Dewan 7, Gerai H7.A30 untuk pelbagai peralatan perubatan getah berkualiti tinggi dari Malaysia di Arab Health 2020!
20 JAN 2020
Kunjungi Pavilion MREPC Malaysia di Arab Health 2020
MREPC akan Mempromosikan Produk Getah Kejuruteraan Buatan Malaysia di Kalangan Pakar Kejuruteraan Antarabangsa
MREPC akan menyertai Persidangan Antarabangsa Tentang Bangunan Berdaya Tahan yang ke-9 di Bali, Indonesia dari 13 - 15 Januari 2020. Persidangan ini bertemakan 'Pelaburan untuk Mengurangkan Risiko Bencana dan Adaptasi Perubahan Iklim untuk Membangun Bandaraya Berdaya Tahan' dan akan mengumpulkan kepelbagaian komuniti saintifik, pembuat polisi, pengamal dan penyelidik dari seluruh dunia. Persidangan tahun ini dianjurkan oleh Insititut Teknologi Bandung (ITB) dan Pusat Berdaya Tahan Global di Universiti Huddersfield (Britain) dan bersekutu dengan Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pengurangan Risiko Bencana (UNISDR). MREPC akan menggunakan platform ini untuk meningkatkan kesedaran tentang produk getah kejuruteraan buatan Malaysia di kalangan pakar kejuruteraan dari Indonesia dan negara-negara lain yang menghadiri persidangan antarabangsa ini. Datang dan kunjungilah gerai berkonsep payung MREPC di gerai bernombor S2 dan S3 untuk mendapatkan produk Galas Getah Asli Redaman Tinggi dan getah kejuruteraan berkualiti tinggi dari Malaysia!