MEDIA
SIARAN
BERITA
Misi Khusus Produk Getah Kejuruteraan ke Turki
Menyedari potensi pasaran yang besar untuk Galas Getah Asli Redaman Tinggi (HDNRB) di Turki, MRC akan sekali lagi menganjurkan Misi Khusus Produk Getah Kejuruteraan ke Turki dari 26 November - 1 Disember 2022. Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MRC dalam meningkatkan kesedaran dan mendidik para jurutera, perunding dalam sektor awam, struktur dan pembinaan serta pelajar kejuruteraan awam di Turki tentang pengasingan asas, terutamanya berkenaan Galas Getah Asli Redaman Tinggi. Program yang akan diadakan di bandar Istanbul ini akan merangkumi pertemuan dengan syarikat pembinaan serta seminar yang bertajuk “Risk Mitigation Against Earthquakes Through High Damping Technologyâ€. MRC juga akan mengatur sesi padanan perniagaan di antara pengilang Malaysia yang mengambil bahagian dengan syarikat Turki yang berminat untuk mendapatkan produk getah kejuruteraan berkualiti dari Malaysia.
17 NOV 2022
Misi Khusus Produk Getah Kejuruteraan ke Turki
Lawatan Kerja ke Indonesia berkaitan Telapak Tayar
MRC akan menganjurkan lawatan kerja ke Indonesia dari 15 – 18 November 2022. Lawatan kerja ini akan tertumpu kepada penerokaan kerjasama di antara pengeluar telapak tayar Malaysia dengan pengeluar dan persatuan telapak tayar Indonesia. Beberapa pertemuan telah diatur untuk meneroka peluang perniagaan baharu bagi pengeluar Malaysia dalam pasaran telapak tayar di negara tersebut. Mesyuarat ini akan menyediakan platform yang baik untuk mempromosikan telapak tayar yang berkualiti dari Malaysia.
14 NOV 2022
Lawatan Kerja ke Indonesia berkaitan Telapak Tayar
MRC Anjur Webinar Antarabangsa tentang Sarung Tangan Perubatan untuk Pasaran Indonesia
MRC telah berjaya menganjurkan webinar antarabangsa yang ketiga pada 8 November 2022. Dengan tajuk “Mengurus Kawalan Jangkitan di Indonesia – Memilih Sarung Tangan Yang Tepatâ€, webinar tersebut diaturkan khusus untuk pasaran Indonesia dan telah menerima penyertaan dari beberapa hospital and universiti di Indonesia. Webinar tersebut menampilkan pakar industri dari Indonesia dan Malaysia yang menonjolkan pembangunan kawalan jangkitan dalam persekitaran penjagaan kesihatan serta mewujudkan kesedaran tentang kepentingan penggunaan sarung tangan perubatan yang betul untuk kawalan jangkitan. Webinar ini disokong oleh dua organisasi terkemuka di Indonesia termasuk Persatuan Hospital Indonesia (PERSI) dan Persatuan Kawalan Infeksi Indonesia (PERDALIN).
14 NOV 2022
MRC Anjur Webinar Antarabangsa tentang Sarung Tangan Perubatan untuk Pasaran Indonesia
Promosi Komponen Getah Automotif di Vietnam
MRC mengambil bahagian dalam pameran Autotech dan Aksesori Antarabangsa yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Saigon (SECC), Ho Chi Minh City, Vietnam dari 27 – 30 Oktober 2022. Pameran ini menghimpunkan perniagaan dari Vietnam dan antarabangsa bagi automotif, motosikal, kenderaan elektrik dan industri sokongan. Pameran tersebut memperkenalkan produk berkualiti tinggi dan terobosan kepada pengunjung seperti kenderaan khusus, peralatan untuk kenderaan elektrik, alat ganti dan komponen automotif, aksesori dan penyesuaian, produk untuk pembaikan kenderaan serta penyelenggaraan. Sebanyak 92 pempamer dari lima buah negara telah menyertai pameran tersebut. MRC telah mempamerkan komponen getah automotif buatan Malaysia yang berkualiti tinggi di dalam reruai dan menerima banyak pertanyaan yang menggalakkan terutamanya tentang tali sawat dan hos.
10 NOV 2022
Promosi Komponen Getah Automotif di Vietnam
Webinar Antarabangsa MRC mengenai “Mengurus Kawalan Jangkitan di Indonesia – Memilih Sarung Tangan Yang Tepatâ€
MRC akan menganjurkan webinar antarabangsanya yang ketiga pada 8 November 2022. Webinar setengah hari yang bertajuk “Mengurus Kawalan Jangkitan di Indonesia – Memilih Sarung Tangan Yang Tepat†ini direka khas untuk memenuhi pasaran Indonesia. Webinar ini memberik peluang terbaik untuk pengamal perubatan profesional dan penjagaan kesihatan, profesor dan pelajar dari universiti, organisasi yang berkaitan dan pihak berkuasa kawal selia, untuk mengetahui lebih lanjut tentang pembangunan kawalan jangkitan dalam persekitaran penjagaan kesihatan dan untuk mewujudkan kesedaran tentang kepentingan penggunaan sarung tangan perubatan yang betul untuk kawalan jangkitan. Webinar yang akan menampilkan pakar industri mengenai subjek dari Indonesia dan Malaysia ini disokong oleh dua organisasi terkemuka di Indonesia termasuk Persatuan Hospital Indonesia (PERSI) dan Persatuan Kawalan Infeksi Indonesia (PERDALIN).
07 NOV 2022
Webinar Antarabangsa MRC mengenai “Mengurus Kawalan Jangkitan di Indonesia – Memilih Sarung Tangan Yang Tepatâ€
MRC akan Menyertai Pameran Perdagangan Perubatan Terbesar Dunia di Jerman
MRC akan menerajui empat pengeluar peranti getah perubatan (RMD) Malaysia untuk menyertai MEDICA dari 14 – 17 November 2022 di Düsseldorf, Jerman. Terdapat juga 24 pengeluar RMD Malaysia yang akan mengambil bahagian secara solo pada pameran itu. MEDICA ialah acara tahunan terbesar di dunia untuk sektor perubatan. Seramai 45,000 pelawat telah mengunjungi 3,500 peserta pameran pada tahun lepas. Pameran pada tahun ini dijangka bakal menyaksikan jumlah pelawat dan pempamer yang lebih besar berdasarkan bilangan pelawat dan pempamer yang memberangsangkan pada tahun lalu. Satu siri forum dan persidangan bersasar juga akan dianjurkan serentak dengan pameran itu. Dapatkan rangkaian penuh peranti getah perubatan berkualiti buatan Malaysia di gerai MRC di Dewan 7.0, Gerai D40.
07 NOV 2022
MRC akan Menyertai Pameran Perdagangan Perubatan Terbesar Dunia di Jerman
MRC Mempromosi Peranti Getah Perubatan di Pakistan
MRC telah menyertai Health Asia International Exhibition and Conferences buat pertama kalinya di Karachi Expo Centre, Karachi, Pakistan dari 13-15 Oktober 2022. Pameran edisi ke-19 yang berlangsung selama tiga hari itu telah menarik lebih 20,000 pengunjung dan 118 peserta pameran dari 10 buah negara.
Reruai promosi MRC telah mempamerkan pelbagai peranti getah perubatan buatan Malaysia termasuk sarung tangan perubatan, kateter dan kondom. MRC menerima pertanyaan perdagangan yang menggalakkan sepanjang pameran tersebut. Kebanyakan pertanyaan perdagangan yang diterima adalah untuk sarung tangan pemeriksaan lateks, sarung tangan pemeriksaan nitril dan sarung tangan pembedahan. Satu sepanduk yang besar telah dipampang di atrium utama Dewan 2 untuk mempromosi peranti getah perubatan buatan Malaysia serta menarik lebih banyak pengunjung ke reruai MRC.
Konsul Jeneral Malaysia ke Karachi, Encik Herman Hardynata serta Menteri Kesihatan dan Kebajikan Populasi Daerah Sindh, Dr Azra Palijo turut melawat reruai MRC sewaktu pameran.
Edisi Health Asia (Karachi) yang seterusnya akan berlangsung pada 19 – 21 Oktober 2023.
28 OCT 2022
MRC Mempromosi Peranti Getah Perubatan di Pakistan
MRC Meneroka Peluang Pasaran bagi Produk Getah Kejuruteraan di Mesir
Majlis Getah Malaysia telah berjaya melakukan lawatan kerja ke Mesir dari 22-26 Oktober 2022 dalam usaha meneroka peluang pasaran di Mesir bagi produk getah kejuruteraan buatan Malaysia. Delegasi yang turut disertai pengilang Kumpulan Jebco telah bertemu dengan beberapa syarikat pembinaan terkemuka Mesir, iaitu The Arab Contractors, Orascom Construction dan Hassan Allam Construction disamping Kader Factory for Development Industry yang merupakan kontraktor dan pengilang bagi sektor ketenteraan dan awam di Mesir. Para delegasi juga turut mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Mesir untuk perbincangan ringkas bersama Duta Besar, Tuan Yang Terutama Zamani Ismail mengenai peluang produk getah buatan Malaysia di Mesir.
28 OCT 2022
MRC Meneroka Peluang Pasaran bagi Produk Getah Kejuruteraan di Mesir
MRC akan Menyertai Pameran Utama Komponen Automotif di Amerika
MRC akan mengetuai lima pengeluar Malaysia untuk menyertai AAPEX. AAPEX adalah pameran yang mewakili lebih daripada US$1.8 trilion industri pasaran automotif global. Pameran tersebut akan berlangsung di The Venetian Expo, Las Vegas, Amerika Syarikat dari 1 – 3 November 2022.
AAPEX dijangka akan menyaksikan penyertaan kira-kira 1,400 peserta pameran dan menerima lebih 49,000 orang pengunjung dari seluruh dunia. Para peserta akan dapat menjejaki teknologi yang baru, membuat tawaran yang menguntungkan, menemui produk inovatif, menerima latihan dan banyak lagi daripada pemimpin dan pakar utama industri. MRC akan mempromosikan komponen getah automotifdan sarung tangan industry buatan Malaysia yang berkualiti tinggi di pameran tersebut.
Kunjungi Pavilion MRC Malaysia di Tingkat 2, Gerai A34001 untuk meneroka lebih lanjut tentang kualiti dan kelebihan produk getah dari Malaysia.
28 OCT 2022
MRC akan Menyertai Pameran Utama Komponen Automotif di Amerika
MRC Akan Mempromosikan Komponen Getah Automotif di Vietnam
MRC akan mengambil bahagian dalam pameran Autotech dan Aksesori Antarabangsa yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Saigon (SECC), Ho Chi Minh City, Vietnam dari 27 – 30 Oktober 2022. Pameran tersebut adalah salah satu acara yang paling dinanti-nantikan di Vietnam yang bakal menampilkan model terkini dari jenama kenderaan terkenal, alat ganti dan aksesori kereta terbaik. Acara ini adalah platform penting bagi pengeluar automotif untuk mencapai khalayak sasaran di Vietnam. Datang dan kunjungi gerai MRC di Dewan B2, Gerai F284 untuk meneroka lebih lanjut tentang komponen getah automotif buatan Malaysia yang berkualiti tinggi.
25 OCT 2022
MRC Akan Mempromosikan Komponen Getah Automotif di Vietnam
MRC Anjur Webinar Antarabangsa untuk Mempromosikan Galas Seismik dan Produk Getah Kejuruteraan bagi Pasaran Filipina
MRC telah berjaya menganjurkan webinar antarabangsa yang kedua pada 19 Oktober 2022 yang bertajuk “Kaedah Pengasingan Tapak untuk Melindungi Nyawa dan Struktur di Filipinaâ€, khusus untuk pasaran Filipina. Webinar ini telah menerima kehadiran seramai 229 peserta dari pihak berkuasa kerajaan, persatuan, jurutera, perunding, serta pelajar dari beberapa universiti di Filipina. Webinar in telah membariskan pakar-pakar industri dari Filipina serta Malaysia. Sebanyak empat kertas perbincangan telah dibentangkan oleh penutur antarabangsa di dalam webinar tersebut. Antara topik yang dibincangkan termasuk penggunaan pengasingan tapak dan teknologi Galas Getah Asli Redaman Tinggi (HDNRB) dalam mengurangkan impak gempa bumi serta produk getah kejuruteraan lain yang digunakan dalam pelbagai aplikasi seperti pembinaan, marin, kereta api dan perlombongan. Webinar ini disokong oleh beberapa organisasi di Filipina, iaitu Institut Jurutera Awam Filipina (PICE), Universiti De La Salle, Pusat Penyelidikan Lestari Kejuruteraan (CESDR), cabang penyelidikan Kolej Kejuruteraan De La Salle dan Reka Bentuk Kejuruteraan Gempa Bumi Berstruktur Geohazard (GEOSEED).
25 OCT 2022
MRC Anjur Webinar Antarabangsa untuk Mempromosikan Galas Seismik dan Produk Getah Kejuruteraan bagi Pasaran Filipina
Webinar Antarabangsa MRC mengenai “Kaedah Pengasingan Asas untuk Melindungi Kehidupan dan Struktur di Filipinaâ€
MRC akan menganjurkan webinar antarabangsa kedua pada 19 Oktober 2022. Webinar setengah hari bertajuk “Kaedah Pengasingan Asas untuk Melindungi Kehidupan dan Struktur di Filipinaâ€, direka khas untuk memenuhi pasaran Filipina. Webinar ini adalah kesinambungan usaha MRC untuk mendidik dan menyebarkan maklumat di kalangan ahli industri, persatuan, dan organisasi yang berkaitan dari seluruh dunia mengenai teknologi Galas Getah Asli Redaman Tinggi untuk mengurangkan kesan gempa bumi. Webinar yang akan menampilkan pakar industri mengenai subjek dari kedua-dua Filipina dan Malaysia disokong oleh beberapa organisasi yang dihormati di Filipina, iaitu Institut Jurutera Awam Filipina (PICE), Universiti De La Salle, Pusat Penyelidikan Lestari Kejuruteraan (CESDR), cabang penyelidikan Kolej Kejuruteraan De La Salle dan Reka Bentuk Kejuruteraan Gempa Bumi Berstruktur Geohazard (GEOSEED).
17 OCT 2022
Webinar Antarabangsa MRC mengenai “Kaedah Pengasingan Asas untuk Melindungi Kehidupan dan Struktur di Filipinaâ€
Promosi Komponen Getah Automotif di EVM Asia
MRC telah berjaya menyertai pameran EVM Asia dari 27 – 29 September 2022 di Malaysian International Exhibition and Trade Centre (MITEC), Kuala Lumpur. Pameran tersebut diadakan bersempena dengan Smart Nation Expo yang mempamerkan Kenderaan Elektrik, Mobiliti Pintar, Alat Ganti & Komponen dan Teknologi. Pameran selama tiga hari ini telah berjaya mengumpul lebih 13,000 pengunjung dan 585 peserta pameran dari 18 negara. Reruai promosi MRC telah mempamerkan komponen getah automotive berkualiti buatan Malaysia seperti jalur pelindung getah, gromet, but CV dan meterai. Dua pengeluar komponen getah automotif turut menyertai pameran ini iaitu Kossan Industries dan Kumpulan Jebco. Edisi EVM Asia seterusnya akan diadakan dari 19 hingga 21 September 2023.
07 OCT 2022
Promosi Komponen Getah Automotif di EVM Asia
MRC Mempromosikan Komponen Getah Automotif di Automechanika Frankfurt
MRC telah berjaya menyertai satu lagi pameran perdagangan terkemuka dunia untuk industri perkhidmatan automotif, Automechanika Frankfurt bersama-sama dengan tiga pengilang dan pengeksport Malaysia. Pameran dwitahunan tersebut telah berlangsung dari 13 - 17 September 2022 di Frankfurt, Jerman.
Pavilion MRC Malaysia menerima pelawat lebih dari 30 negara, khususnya rantau Eropah dan Timur Tengah yang kebanyakannya berniat untuk memperolehi sarung tangan industri dan produk acuan getah dari Malaysia. MRC turut menyelaras sesi padanan perniagaan untuk syarikat komponen getah automotif Malaysia dengan pembeli sepanjang pameran tersebut. Poster mega di fasad bangunan dewan utama dan grafik lantai telah dipasang untuk mempromosikan komponen getah automotif buatan Malaysia di pameran tersebut.
Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Encik Farzamie Sarkawi serta Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Frankfurt, Puan Zuhaila Sedek turut melawati Pavilion MRC Malaysia serta mengadakan perbincangan dengan syarikat Malaysia yang mengambil bahagian.
Edisi Automechanika Frankfurt yang berikut bakal berlangsung dari 10 – 14 September 2024.
04 OCT 2022
MRC Mempromosikan Komponen Getah Automotif di Automechanika Frankfurt
Taklimat Tender Reka Bentuk dan Pembinaan Pavilion MRC untuk Arab Health 2023
tender reka bentuk dan pembinaan pavilion MRC untuk Arab Health 2023.
Hanya kontraktor gerai yang memenuhi prasyarat layak untuk menyertai taklimat tender ini. Kriteria prasyarat untuk kontraktor gerai adalah seperti berikut:-
- Sebuah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
- Syarikat tersebut mestilah ditubuhkan untuk sekurang-kurangnya tiga tahun
- Mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya dua tahun dalam mengendalikan pameran perdagangan antarabangsa
- Berpengalaman dalam mereka bentuk dan membina gerai khas untuk sekurang-kurangnya 6 projek bagi pameran perdagangan antarabangsa
- Tidak digantung oleh MRC untuk menyertai tender reka bentuk dan pembinaan gerai
Syarikat yang berminat diminta menyediakan dokumen sokongan termasuk profil syarikat dan portfolio TERKINI untuk memenuhi prasyarat di atas dan menghantar dokumen tersebut kepada Cik Vikneswary (Vicky) di vikneswary@myrubbercouncil.com sebelum jam 12 tengah hari, 6 Oktober 2022 (Khamis).
Maklumat yang dikemukakan oleh syarikat akan disahkan oleh MRC dan kontraktor atau syarikat gerai yang memenuhi prasyarat akan diberitahu kemudian. Syarikat yang terpilih dikehendaki untuk mengesahkan kehadiran mereka ke taklimat tender terlebih dahulu dengan Cik Vicky di vikneswary@myrubbercouncil.com. Syarikat yang gagal menghantar wakil mereka ke taklimat tersebut akan dikecualikan daripada proses tender.
Butiran taklimat tender adalah seperti berikut:
TARIKH : 13 Oktober 2023 (Khamis)
MASA : 10.00 pagi
TEMPAT : Dalam talian
30 SEP 2022
Taklimat Tender Reka Bentuk dan Pembinaan Pavilion MRC untuk Arab Health 2023
MRC Akan Menyertai Pameran Health Asia, Pakistan Buat Pertama Kali
Buat pertama kali MRC akan menyertai pameran 19th Health Asia International Exhibition and Conferences yang akan diadakan di Karachi Expo Centre, Karachi, Pakistan dari 13 - 15 Oktober 2022.
Health Asia ialah acara industri kesihatan dan perubatan tahunan terbesar di Pakistan yang dijangka akan menarik lebih 70,000 pengunjung tahun ini. Pameran ini adalah satu-satunya program sektor kesihatan Ufi (Persatuan Industri Pameran Global) yang diluluskan di Pakistan. Pameran ini mendapat sokongan meluas daripada Kementerian Kesihatan Pakistan, jabatan dan pegawai kerajaan yang berkaitan, persatuan perubatan dan institut perubatan kerajaan/ swasta.
Kunjungi gerai pameran MRC di Dewan 2, Gerai B-63 & B-64 untuk meneroka lebih lanjut tentang peranti getah perubatan buatan Malaysia yang berkualiti tinggi.
28 SEP 2022
MRC Akan Menyertai Pameran Health Asia, Pakistan Buat Pertama Kali
MRC Akan Mempromosikan Komponen Getah Automotif di dalam Pameran EVM Asia
MRC akan menyertai pameran antarabangsa pertama di Asia yang khusus dalam pembuatan kenderaan elektrik, hibrid dan autonomi, yang dikenali sebagai EVM Asia. EVM Asia ialah pameran sulung yang mempromosikan ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, dengan tema “Powering the Future of Sustainable Mobilityâ€. Expo ini dijadualkan berlangsung dari 27-29 September 2022 di Malaysian International Exhibition and Trade Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
EVM Asia dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi (MIGHT), Persatuan Kenderaan Elektrik Malaysia (EVAM) dan Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysia (MyEVOC). Expo ini dijangka membawa bersama pengeluar, pemasang dan penjual automotif dari rantau Asia untuk mengumpulkan pandangan terkini tentang inovasi pembuatan bahagian, komponen, perisian dan sistem pelayaran, keselamatan dan lain-lain lagi untuk kenderaan elektrik.
Kunjungi gerai pameran MRC di Dewan 7, Gerai 7246 untuk meneroka lebih lanjut tentang komponen getah automotif berkualiti tinggi buatan Malaysia.
21 SEP 2022
MRC Akan Mempromosikan Komponen Getah Automotif di dalam Pameran EVM Asia
Kejayaan MRC Sebagai Penganjur Bersama IRGCE Ke-10 + IRICE 2022
Majlis Getah Malaysia (MRC) telah berjaya menjadi penganjur bersama Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa (IRGCE) ke-10 dan Konvensyen dan Ekspo Industri Getah Antarabangsa (IRICE), yang diadakan serentak dari 6 – 8 September 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. IRGCE yang dianjurkan oleh Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) telah berjaya mengumpul 268 peserta pameran dari 17 negara. Tema persidangan tahun ini "Breaking Boundaries: Game Changing Initiatives" telah menyaksikan penyertaan daripada 915 orang peserta. Manakala IRICE yang dianjurkan oleh Persatuan Pengilang Produk Getah Malaysia (MRPMA) telah mengumpulkan 64 peserta pameran yang mempamerkan pemprosesan, pembuatan dan pembangunan berkaitan industri getah, khususnya produk getah kering.
MRC telah mempamerkan pelbagai jenis produk getah daripada pelbagai sektor semasa pameran berlangsung. Sempena acara tersebut, MRC juga telah menganjurkan program padanan perniagaan yang dikenali sebagai MRC Global Sourcing Mission (GSM), secara fizikal dan atas talian dari 6 – 7 September 2022. Sebanyak 112 sesi padanan perniagaan telah berjaya diaturkan di antara 25 bakal pembeli antarabangsa dan 20 pengeluar Malaysia. Selain itu MRC Career Talks juga telah diadakan dari 6 – 7 September 2022 dan berjaya mengumpulkan sebanyak 400 orang pelajar dari 32 institusi pengajian tempatan dan awam. Program ini telah berjaya menjana minat pelajar untuk menerokai kerjaya mereka dalam industri produk getah.
14 SEP 2022
Kejayaan MRC Sebagai Penganjur Bersama IRGCE Ke-10 + IRICE 2022
MRC Mengetuai Pengeluar Malaysia untuk Meneroka Peluang bagi Busa dan Tilam Lateks di Amerika Syarikat
MRC telah menganjurkan lawatan kerja untuk busa dan tilam lateks ke Amerika Syarikat dari 20 – 27 Ogos 2022. Diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Encik Nor Hizwan Ahmad, lawatan kerja ini merangkumi bandar Los Angeles dan New York. Tiga pengeluar dan pengeksport Malaysia telah menyertai program ini iaitu Getha (1969) Sdn Bhd, LSK Mattressworld Sdn Bhd dan LSK Napure Latex Sdn Bhd. Semasa lawatan ini, para delegasi telah bertemu dengan sebelas pengeluar dan peruncit tilam Amerika serta persatuan yang berkaitan iaitu Latexpedic, Comfort Bedding Manufacturing, Milkmen Foam, Royal Pedic, Casper Sleep, 911Beds, Shifman Mattress Company, LA Mattress, Naturepedic, Mattress Central, dan International Furnishings and Design Association (IFDA). Di samping itu, para delegasi turut bertemu dengan Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles dan New York serta pegawai MATRADE di kedua-dua bandar tersebut. Melalui lawatan ini, MRC berjaya mempromosikan busa dan tilam lateks berkualiti buatan Malaysia dan mewujudkan peluang perniagaan untuk pengeluar Malaysia mengeksport busa dan tilam lateks ke Amerika Syarikat.
Delegasi MRC serta pengilang-pengilang Malaysia semasa lawatan kilang di Milkmen Foam |
Delegasi MRC mengadakan pertemuan dengan IFDA |
Delegasi MRC serta pengilang-pengilang Malaysia di pejabat MATRADE Los Angeles |
09 SEP 2022
MRC Mengetuai Pengeluar Malaysia untuk Meneroka Peluang bagi Busa dan Tilam Lateks di Amerika Syarikat
MRC akan Mengetuai Penyertaan Pengeluar Malaysia di Automechanika Frankfurt
Sebagai usaha berterusan untuk mempromosikan produk getah berkualiti buatan Malaysia, MRC akan mengetuai penyertaan tiga (3) pengeluar dan pengeksport Malaysia di Automechanika Frankfurt, yang merupakan sebuah pameran perdagangan utama dunia untuk industri perkhidmatan automotif sejak penubuhannya pada 1971.
Pameran ini akan berlangsung di Frankfurt, Jerman dari 13 hingga 17 September 2022. Pameran ini adalah platform pertemuan global untuk industri pembuatan, kedai baik pulih dan perdagangan automotif yang mewakili keseluruhan rantaian nilai produk gantian automotif. Pameran antarabangsa bagi produk gantian automotif ini dijangka bakal menarik lebih daripada 2,800 peserta pameran dari sekitar 70 negara pada tahun ini.
Kunjungi Pavilion MRC Malaysia di Dewan 1.2, D01B untuk meneroka lebih lanjut tentang komponen getah automotif berkualiti tinggi buatan Malaysia.
30 AUG 2022
MRC akan Mengetuai Penyertaan Pengeluar Malaysia di Automechanika Frankfurt
MRC Menjadi Penganjur Bersama Untuk IRGCE ke-10 + IRICE 2022
Majlis Getah Malaysia (MRC) akan menjadi penganjur bersama untuk Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa ke-10 (IRGCE) dan Konvensyen dan Ekspo Industri Getah Antarabangsa (IRICE) 2022, yang akan diadakan serentak dari 6 – 8 September 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Dengan tema tahun ini, “Breaking Boundaries: Game Changing Initiativesâ€, IRGCE sekali lagi akan menampilkan persidangan yang bakal memaparkan inovasi, perkembangan dan trend terkini dalam sarung tangan getah perubatan serta peralatan perlindungan peribadi. IRGCE dianjurkan oleh Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA). Edisi tahun ini dijangka akan menarik seramai 10,000 pengunjung dan 300 peserta pameran.
Manakala IRICE pula dianjurkan oleh Persatuan Pengilang Produk Getah Malaysia (MRPMA) yang bertujuan untuk membuka peluang dan menangani cabaran yang dihadapi oleh pemain industri getah Malaysia. Platform ini disasarkan akan menarik seramai 70 peserta pameran dan 2,000 pelawat serta telah dirangka untuk memudahkan perkongsian pengetahuan di kalangan ahli industri.
MRC akan turut mengambil bahagian di dalam pameran ini untuk mempromosikan produk getah berkualiti buatan Malaysia. Produk getah dari pelbagai sektor akan dipamerkan di gerai promosi MRC. Sempena acara ini, MRC juga akan menganjurkan program padanan perniagaan yang dikenali sebagai MRC Global Sourcing Mission (GSM), secara fizikal dan dalam talian dari 6 – 7 September 2022. Program ini telah diatur untuk membantu pengeluar Malaysia meneroka peluang perniagaan dengan pembeli antarabangsa.
Terdapat juga Ceramah Kerjaya yang akan dianjurkan oleh MRC untuk pelajar dari institusi pengajian tempatan dan awam semasa acara tersebut. Objektif utama aktiviti ini adalah untuk memaklumkan kepada pelajar tentang peluang kerjaya yang ditawarkan oleh industri produk getah Malaysia. Ceramah Kerjaya MRC akan diadakan dari 6 – 7 September 2022 di tempat pameran yang sama. Datanglah dan kunjungi gerai MRC di Dewan 2 ketika IRGCE dan IRICE berlangsung untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk getah berkualiti buatan Malaysia.
29 AUG 2022
MRC Menjadi Penganjur Bersama Untuk IRGCE ke-10 + IRICE 2022
MRC Berjaya Menghubungkan Pembeli Antarabangsa dengan Pengeluar Malaysia melalui Program Padanan Perniagaan Dalam Talian
MRC telah Berjaya menganjurkan program padanan perniagaan dalam talian yang dikenali sebagai e-Global Sourcing Mission (e-GSM) yang berlangsung dari 26 - 28 Julai 2022. Program e-GSM adalah suatu program padanan perniagaan yang dianjurkan oleh MRC secara dalam talian untuk memudahkan lagi aktiviti eksport produk getah buatan Malaysia. Program kali ini telah berjaya menghubungkan 20 pembeli antarabangsa dengan 15 pengeluar dan pengeksport produk getah Malaysia. Sebanyak 41 mesyuarat dalam talian telah dianjurkan. Majoriti pembeli adalah dari China, India, Arab Saudi, Britain, Jerman dan Turki. Para pembeli berminat untuk memperolehi produk getah berkualiti buatan Malaysia termasuk komponen getah automotif, produk getah kejuruteraan, telapak tayar dan bahan tayar celup serta bahan getah khas (getah mesra alam) dan peranti getah perubatan.
08 AUG 2022
MRC Berjaya Menghubungkan Pembeli Antarabangsa dengan Pengeluar Malaysia melalui Program Padanan Perniagaan Dalam Talian
Promosi Sarung Tangan Getah Kegunaan Bilik Bersih Buatan Malaysia di Pameran Farmaseutikal Terkemuka Asia
MRC telah menyertai pameran Interphex Japan yang berlangsung dari 13-15 Julai 2022 di Tokyo Big Sight, Tokyo, Jepun. Pameran tersebut adalah pameran terkemuka Asia bagi pembuatan farmaseutikal dan kosmetik. Reruai MRC berkonsep payung menempatkan tiga buah syarikat produk getah Malaysia iaitu ASAP International, Bonric dan TCS Quality & Productivity. MRC dan pengeluar produk getah Malaysia telah mempamerkan produk getah kegunaan bilik bersih sewaktu pameran berlangsung seperti sarung tangan bilik bersih, kot jari dan pemadan jari.
Reruai MRC telah menerima jumlah pengunjung serta pertanyaan perdagangan yang menggalakkan sepanjang tiga hari pameran tersebut. MRC turut menyelaras sesi padanan perniagaan untuk pembeli berpotensi dan pengeluar Malaysia di tapak pameran.
Kehadiran MRC di Interphex juga diwar-warkan menerusi iklan sepanduk eksklusif yang terpampang di atas reruai untuk mempromosi produk getah kegunaan bilik bersih buatan Malaysia dan menarik pengunjung ke reruai MRC. Edisi Interphex yang seterusnya dijadualkan akan berlangsung dari 5 – 7 Julai 2023 di lokasi yang sama.
26 JUL 2022
Promosi Sarung Tangan Getah Kegunaan Bilik Bersih Buatan Malaysia di Pameran Farmaseutikal Terkemuka Asia
MRC Menjadi Penganjur Bersama Ekspo Agri-Komoditi Terulung Malaysia
Majlis Getah Malaysia (MRC) menjadi penganjur bersama Ekspo dan Sidang Kemuncak Agri-Komoditi Malaysia dan Antarabangsa (MIACES). Ekspo tersebut akan diadakan dari 26 – 28 Julai 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) aadalah penganjur utama manakala Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) adalah dua lagi penganjur bersama ekspo tersebut. YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob akan merasmikan majlis pelancaran bersama YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri MPIC pada 26 Julai 2022.
MIACES ialah suatu acara yang bertujuan untuk menyediakan platform yang memartabatkan sektor pertanian dan mengekalkan pertumbuhan mampan dalam industri. Dengan tema "Memajukan Agrikomoditi dalam Ekosistem Lestari", MIACES dijangka akan mengumpulkan lebih 300 peserta pameran dari seluruh dunia untuk memperkasakan Malaysia sebagai hab antarabangsa untuk aktiviti agrikomoditi. MIACES juga akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar utama produk agri-komoditi di dunia.
Sebilanganaktiviti akan dianjurkan termasuk persidangan, pameran, sesi libat urus, mesyuarat perniagaan (B2B) dan malam anugerah. Acara ini memberi tumpuan utama untuk membawa semua pemain industri, pengeluar, pelabur dan pihak berkepentingan bersama-sama mempamerkan produk, peralatan dan teknologi terkini mereka di bawah satu bumbung.
MRC juga akan menganjurkan seminar ‘Memajukan Industri Getah dalam Ekosistem Lestari’ pada 26 Julai 2022 untuk menekankan kepentingan memajukan dan memperkasakan sektor getah dengan cara yang lebih mampan tanpa menjejaskan ekosistem. Pembuatan pintar, tenaga solar dan rantaian blok untuk pengumpulan data rangkaian akan menjadi intipati seminar yang akan disampaikan oleh penceramah berpengalaman.
Kunjungan ke MIACES adalah PERCUMA. Datang dan kunjungi gerai MRC di Dewan 6, Gerai A3 untuk mendapatkan maklumatdan meneroka lebih lanjut tentang kualiti dan kelebihan produk getah Buatan Malaysia.
19 JUL 2022
MRC Menjadi Penganjur Bersama Ekspo Agri-Komoditi Terulung Malaysia
MRC Terus Mempromosikan Produk Getah Buatan Malaysia Melalui Program Padanan Perniagaan Dalam Talian
Sebagai usaha berterusan untuk mempromosikan produk getah berkualiti buatan Malaysia, MRC akan menganjurkan program e-Global Sourcing Mission (e-GSM) edisi keenam yang akan diadakan dari 26 hingga 28 Julai 2022.
e-GSM adalah program anjuran MRC yang menawarkan platform dalam talian untuk pembeli global mengenal pasti dan bertemu dengan pengeluar Malaysia untuk mendapatkan produk getah berkualiti dari Malaysia.
Di antara produk yang dipromosikan pada kali ini termasuk komponen getah automotif, produk getah kejuruteraan, telapak tayar dan bahan tayar celup serta bahan getah khas (getah mesra alam).
Sebilangan pembeli, pengimport dan pengedar antarabangsa telah mengesahkan penyertaan di dalam program ini dan mereka akan berinteraksi secara maya dengan pengeluar Malaysia.
15 JUL 2022
MRC Terus Mempromosikan Produk Getah Buatan Malaysia Melalui Program Padanan Perniagaan Dalam Talian
MRC Mempromosikan Sarung Tangan Getah PPE di Pameran Keselamatan dan Perlindungan Terbesar Dunia
MRC telah menyertai pameran INTERSCHUTZ yang berlangsung dari 20-25 Jun 2022 di Hannover Fairground, Hannover, Jerman. Pavilion MRC Malaysia menempatkan empat buah syarikat produk getah Malaysia iaitu Nastah, ASAP International, TCS Quality & Productivity dan Tekmedic. MRC dan pengeluar produk getah Malaysia telah mempromosikan sarung tangan getah kelengkapan perlindungan diri (PPE) sewaktu pameran berlangsung seperti sarung tangan pelbagai guna, sarung tangan industri, sarung tangan juruelektrik, sarung tangan pengendalian makanan dan sarung tangan risiko tinggi.
Pavilion MRC Malaysia telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan menerima lebih daripada 300 pengunjung sepanjang enam hari pameran tersebut. MRC turut menyelaras 17 sesi padanan perniagaan di antara pembeli asing berpotensi dan pengeluar Malaysia. Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Encik Farzamie Sarkawi serta Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Frankfurt, Puan Zuhaila Sedek turut melawati Pavilion MRC Malaysia.
Kehadiran MRC di INTERSCHUTZ juga diwar-warkan menerusi sepanduk yang terpampang di pintu masuk utama Hannover Fairground serta iklan bercetak sebanyak 15,000 salinan yang diedarkan di pintu-pintu masuk pusat pameran tersebut untuk mempromosi PPE getah buatan Malaysia dan menarik pengunjung ke Pavilion MRC Malaysia.
Edisi INTERSCHUTZ yang seterusnya dijadualkan akan berlangsung dari 1 – 6 Jun 2026.
06 JUL 2022
MRC Mempromosikan Sarung Tangan Getah PPE di Pameran Keselamatan dan Perlindungan Terbesar Dunia
MRC Akan Mengetuai Pengeluar Malaysia untuk Penyertaan di INTERPHEX Japan
MRC akan mengetuai pengeluar Malaysia untuk menyertai INTERPHEX Japan yang merupakan pameran pembuatan farmaseutikal dan kosmetik terbesar di Jepun dan terkemuka di Asia. Pameran tersebut akan berlangsung di Tokyo, Jepun dari 13 – 15 Julai 2022.
INTERPHEX Japan dijangka akan menyaksikan penyertaan kira-kira 900 peserta pameran dari Jepun dan Asia yang bakal membentangkan produk dan penyelesaian baharu dalam bidang mesin pemprosesan bahan, mesin dan peralatan pembungkusan, pensterilan, peralatan bilik bersih, injap, pam, komponen, pembuatan kontrak serta perkhidmatan dan peralatan logistik. Pameran ini dijangka akan menerima 40,000 orang pengunjung dari seluruh dunia. MRC dan pengeluar Malaysia akan mempromosikan produk getah buatan Malaysia berkualiti tinggi untuk kegunaan bilik bersih seperti sarung tangan bilik bersih, kot jari dan pemadan jari.
Kunjungi gerai pameran MRC di Dewan West, Gerai 20-42 untuk meneroka lebih lanjut tentang kualiti dan kelebihan produk getah bilik bersih dari Malaysia.
01 JUL 2022
MRC Akan Mengetuai Pengeluar Malaysia untuk Penyertaan di INTERPHEX Japan
MRC Menganjurkan Sesi Maya Padanan Perniagaan Untuk Pengeluar Malaysia
MRC telah berjaya menganjurkan sesi maya padanan perniagaan yang dikenali sebagai e-Global Sourcing Mission untuk kali yang kelima yang berlangsung dari 7 – 10 Jun 2022. Melalui pejabat serantau MRC di Amerika Syarikat, Eropah, India, Timur Tengah, dan China telah membantu untuk menghubungkan sebanyak 51 pembeli berpotensi antarabangsa dengan 24 pengeluar Malaysia melalui 88 sesi padanan perniagaan secara maya. Pembeli berpotensi datang daripada 19 negara iaitu Belize, Bosnia Herzegovina, China, Colombia, Mesir, El Salvador, India, Iraq, Lubnan, Mauritania, Mexico, Maghribi, Poland, Qatar, Romania, Arab Saudi, Somalia, Emiriyah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat. Para pembeli berminat untuk memperolehi produk getah buatan Malaysia seperti peranti getah perubatan, peralatan perlindungan diri, busa lateks dan tilam.
20 JUN 2022
MRC Menganjurkan Sesi Maya Padanan Perniagaan Untuk Pengeluar Malaysia
MRC Akan Mempromosi Telapak Tayar Buatan Malaysia di Pameran Utama Tayar dan Tayar Celup di Amerika Selatan
MRC akan mengambil bahagian buat pertama kali dalam Pneushow yang akan diadakan di Expo Centre Norte, Sao Paulo, Brazil dari 22 - 24 Jun 2022. Pneushow adalah pameran utama berkenaan teknologi tayar dan tayar celup di Amerika Selatan. Pameran ini menjadi titik pertemuan bagi teknologi pengeluaran tayar dan tayar celup bakal mempamerkan produk, mesin, penyelesaian dan inovasi yang menyumbang kepada semua peringkat kegunaan tayar. MRC akan mempromosikan Malaysia sebagai sumber bagi telapak tayar dan bahan tayar celup berkualiti seperti cushion gum, orbitread, camelback dan repair rope pada acara tersebut. Ayuh kunjungi reruai promosi MRC di reruai 89 4/0 untuk rangkaian komprehensif telapak tayar dan bahan tayar celup dari Malaysia di Pneushow 2022!
10 JUN 2022
MRC Akan Mempromosi Telapak Tayar Buatan Malaysia di Pameran Utama Tayar dan Tayar Celup di Amerika Selatan
MRC Akan Mengetuai Penyertaan Pengeluaran Malaysia di Pameran Keselamatan Terbesar Dunia
MRC akan mengetuai penyertaan pengeluaran Malaysia buat kali pertama di dalam Interschutz yang merupakan pameran perdagangan terkemuka dunia untuk perkhidmatan bomba dan penyelamat, perlindungan awam dan keselamatan. Pameran ini akan berlangsung di Hannover, Jerman dari 20 – 25 Jun 2022.
Sebagai pameran perdangangan utama untuk peralatan perlindungan diri (PPE), Interschutz menghimpunkan peserta dari 50 buah negara, mewakili semua bidang perkhidmatan keselamatan dan menyelamat yang berkaitan. Lebih 1,200 peserta pameran akan mengambil bahagian dalam pameran ini yang mempersembahkan produk dan penyelesaian baharu dalam bidang perlindungan awam dan perkhidmatan menyelamat, memadam kebakaran, peralatan perlindungan dan penyelesaian dalam bidang perlindungan awam. Pameran ini menerima lebih 150,000 pengunjung dari seluruh dunia pada edisi sebelum ini.
Sebagai usaha berterusan untuk memperkenalkan dan mempromosikan kualiti dan kelebihan PPE getah Buatan Malaysia, Pavilion MRC Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada empat pengeluar Malaysia. Kunjungi kami di Dewan 15, Reruai A20 untuk mendapatkan produk getah berkualiti tinggi dari Malaysia.
09 JUN 2022
MRC Akan Mengetuai Penyertaan Pengeluaran Malaysia di Pameran Keselamatan Terbesar Dunia
MRC Terus Mempromosikan Produk Lateks Buatan Malaysia Melalui Program e-Global Sourcing Mission
Susulan kejayaan beberapa sesi e-Global Sourcing Mission (e-GSM) pada tahun 2021, MRC akan menganjurkan sesi kelima e-GSM yang bakal berlangsung dari 7 – 10 June 2022.
e-GSM merupakan program anjuran MRC yang menawarkan platform dalam talian untuk pembeli global mengenal pasti dan bertemu dengan pengeluar tulen Malaysia untuk mendapatkan produk getah berkualiti dari Malaysia.
Produk getah utama yang dipromosikan di dalam program e-GSM ini adalah produk berasakan lateks yang terdiri daripada peranti perubatan getah, peralatan perlindung diri, serta busa lateks dan tilam.
Seramai 65 pembeli, pengimport dan pengedar antarabangsa yang berminat telah disahkan menyertai program ini dan akan bertemu dengan pengilang Malaysia secara maya.
02 JUN 2022
MRC Terus Mempromosikan Produk Lateks Buatan Malaysia Melalui Program e-Global Sourcing Mission
MRC Mempromosi Produk Getah Malaysia dan Memperkenal Platform Maya Baharu di Ekspo 2020 Dubai
MRC telah menyertai Minggu ke-17 Agrikomoditi di Ekspo 2020 Dubai yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu dari 23 hingga 29 Januari 2022 untuk mempromosikan pelbagai jenis getah dan produk getah buatan Malaysia yang berkualiti tinggi. Minggu ke-17 yang bertemakan “Agrikomoditi Mampan†meliputi sector getah, kayu dan kenaf di bawah kategori bukan makanan yang diketuai oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.Sebanyak enam pengilang dan pengeksport produk getah Malaysia menyertai pameran tersebut bersama MRC di bawah sektor getah, iaitu Armcrest, Geomax Rubber, Duramedical, Mah Sing Healthcare, Pleasure Latex Products dan Top Glove.
Pada acara tersebut, MRC juga memperkenalkan platform maya baharu untuk getah dan produk getah Malaysia, iaitu Malaysian Rubber Products Virtual Showcase (MaRViS), yang dilancarkan oleh YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada 24 Januari 2022 di Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai. MaRViS mengehoskan pengeluar getah dan produk getah Malaysia untuk mempamerkan produk mereka yang terdiri daripada tujuh kategori, iaitu telapak tayar, busa dan tilam lateks, produk getah kejuruteraan, bahan getah khusus, peranti getah perubatan, sarung tangan getah dan komponen getah automotif. Platform maya ini akan memberikan peluang kepada pengeluar getah dan produk getah Malaysia untuk mempromosikan produk mereka secara dalam talian dengan lebih efektif lagi tanpa batasan sempadan.
09 FEB 2022
MRC Mempromosi Produk Getah Malaysia dan Memperkenal Platform Maya Baharu di Ekspo 2020 Dubai
Kejayaan MRC Menyertai Arab Health 2022
MRC telah menyertai Arab Health 2022 yang diadakan dari 24 – 27 Januari 2022 di Dubai World Trade Centre, Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Pavilion MRC Malaysia terletak di lokasi strategik dalam Dewan 8 dan menempatkan lapan buah syarikat produk getah Malaysia sebagai pempamer bersama seperti Hartalega, Supermax, Karex, Asap International, Biomax, Glove Resources, Mah Sing Healthcare dan Tradecyanic. Enam lagi syarikat produk getah Malaysia menyertai pameran ini secara individu. Pavilion MRC Malaysia menerima bilangan pelawat yang memberangsangkan hampir kepada 5,000 orang dan menerima lebih daripada 2,000 pertanyaan perdagangan sepanjang acara itu berlangsung. MRC juga telah menyelaras hamper 100 sesi padanan perniagaan antara bakal pembeli dan syarikat peranti getah perubatan Malaysia. Tambahan pula, MRC telah meningkatkan kehadirannya di Arab Health dengan mempunyai iklan yang dominan di pintu masuk utama dan sepanjang laluan pejalan kaki dari stesen metro ke pusat perdanganan bagi mempromosikan peranti getah perubatan buatan Malaysia dan menarik perhatian pengunjung ke Pavilion MRC Malaysia. Pada hari pertama acara tersebut, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, YB Datuk Hajah Zuraidah Kamaruddin telah melawat Pavilion MRC Malaysia untuk bertemu syarikat Malaysia bersempena lawatan rasmi beliau ke Dubai. Edisi Aran Health seterusnya akan diadakan dari 30 Januari – 2 Februari 2023.
31 JAN 2022
Kejayaan MRC Menyertai Arab Health 2022
MRC Akan Menyertai Pameran Mega Dunia - Ekspo 2020 Dubai
Pameran ekspo dunia yang diadakan setiap lima tahun sekali sedang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022. Edisi Ekspo 2020 Dubai kali ini yang bertemakan "Menghubungi Minda, Membina Masa Depan" (Connecting Minds, Creating the Future) merangkumi idea yang menyatukan dunia dalam memangkinkan pertukaran sudut pandangan baru dan memberi inspirasi untuk menyampaikan penyelesaian sebenar untuk cabaran dunia hakiki.
Pavilion Malaysia yang bertemakan "Memperkasai Kemampanan" (Energising Sustainability) adalah dibina atas inspirasi hutan hujan Malaysia yang megah. Pavilion ini mengabadikan iltizam dan hala tuju bangsa untuk mencapai pembangunan mampan negara. Terletak di depan Taman Jubilee, pavilion ini terdiri daripada beberapa segmen, termasuklah 'Energising Business' di tingkat bawah yang merangkumi 26 minggu perdagangan dan pameran perniagaan.
MRC bersama dengan enam pengeluar dan pengeksport produk getah Malaysia akan menyertai ekspo ini di bawah Pavillion Malaysia pada minggu ke-17 yang bertemakan “Agrikomoditi Mampan†(Sustainable Agrocomodity) yang akan berlangsung dari 23 hingga 29 Januari 2022 untuk mempromosikan pelbagai jenis getah dan produk getah buatan Malaysia yang berkualiti tinggi.
MRC juga akan melancarkan platform maya baru iaitu Malaysian Rubber Products Virtual Showcase (MaRViS) secara rasmi pada minggu tersebut. MaRViS merupakan platform dalam talian yang berkeupayaan untuk memudahkan penglibatan perniagaan dalam talian antara pembeli antarabangsa dan pengeluar produk getah Malaysia. Demonstrasi permodelan tanah liat getah asli juga akan berlangsung di Amphitheatre untuk menarik minat pengunjung terhadap produk getah buatan Malaysia.
Datang dan lawati kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk getah yang dihasilkan secara mampan dari Malaysia!
21 JAN 2022
MRC Akan Menyertai Pameran Mega Dunia - Ekspo 2020 Dubai
MRC Akan Mempromosikan Peranti Getah Perubatan Buatan Malaysia di Arab Health 2022
Komited untuk menyampaikan acara terbaik bagi komuniti penjagaan kesihatan di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara, Arab Health sekali lagi bersedia untuk menyatukan industri penjagaan kesihatan global di Dubai World Trade Centre dari 24-27 Januari 2022. Edisi 2022 acara ini bakal mengalu-alukan kira-kira 3,600 syarikat pameran dan 30,000 profesional penjagaan kesihatan dan perdagangan dari 160 buah negara. MRC akan mempromosikan Malaysia sebagai sumber peranti getah perubatan berkualiti dengan mempunyai pavilion yang bakal menjadi tuan rumah kepada lapan pengeluar dan pengeksport produk getah Malaysia. Pavilion MRC Malaysia yang terletak di dalam dewan utama adalah destinasi yang sesuai untuk mendapatkan peranti perubatan getah berkualiti tinggi buatan Malaysia seperti sarung tangan perubatan, kondom dan kateter getah. Kunjungi MRC Malaysia Pavilion di Dewan 8, reruai H8.E11 untuk mendapatkan pelbagai jenis peranti getah perubatan berkualiti tinggi dari Malaysia di Arab Health 2022!