MEDIA
SIARAN
BERITA
MRC Mempromosikan Komponen Getah Automotif Berkualiti di Automechanika Kuala Lumpur
MRC telah menyertai Automechanika Kuala Lumpur yang menjadi salah satu pameran terkemuka untuk industri perkhidmatan automotif bagi pasaran ASEAN dari 16 – 18 Mac 2023 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur. Dengan konsep S.E.T (Sourcing, Entertainment dan Training) yang unik, pameran ini telah menarik sekitar 8,000 pengunjung dan 330 peserta daripada 17 negara seperti Australia, China, Jerman, Hong Kong, India, Itali, Korea, Lithuania, Malaysia, Mauritius, Oman, Poland, Singapura, Taiwan, Emiriyah Arab Bersatu, Britain dan Amerika Syarikat.
Reruai promosi MRC mempamerkan pelbagai produk getah Buatan Malaysia yang berkualiti termasuk komponen getah automotif, telapak tayar dan bahan tayar celup, bahan getah khas seperti Ekoprena dan Pureprena dan juga pelbagai sarung tangan industri di pameran tersebut. Sepanjang pameran yang berlangsung selama tiga hari itu, MRC menerima bilangan pertanyaan perdagangan yang berkualiti dan pengunjung dari pelbagai negara seperti Korea, China, Singapura, Amerika Syarikat dan Jerman. Beberapa pengeluar produk getah Malaysia turut menyertai pameran ini termasuk Best Form Brake Manufacture, Cooltec Industries, Kossan Industries, Pro-Tec Wire Industries dan Schmaco Auto Parts Industries.
Bersempena dengan penyertaan di pameran ini, MRC telah menganjurkan program Global Sourcing Mission (GSM) untuk pembeli antarabangsa mendapatkan produk getah berkualiti dari Malaysia. Sejumlah 21 padanan perniagaan termasuk tiga lawatan kilang telah diadakan dengan jayanya di kalangan tujuh pembeli berpotensi dan 11 pembekal Malaysia.
Edisi Automechanika Kuala Lumpur seterusnya dijadualkan akan berlangsung dari 8 – 10 Mei 2025.

27 MAR 2023
MRC Mempromosikan Komponen Getah Automotif Berkualiti di Automechanika Kuala Lumpur

Promosi Telapak Tayar Berkualiti di Tyrexpo Asia
MRC telah berjaya menamatkan penyertaan sulungnya dalam Tyrexpo Asia, salah satu pameran tayar terkemuka di Asia dari 8 - 10 Mac 2023 di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands di Singapura. Pameran ini telah menarik lebih 5,000 pengunjung dan 200 peserta pameran dari pelbagai negara. Reruai promosi MRC telah mempamerkan Malaysia sebagai sumber bagi telapak tayar berkualiti tinggi serta bahan tayar celup termasuk cushion gum, camelback, orbitread, repair rope, dan sidewall veneer. Bahan getah khusus (getah mesra alam) seperti Ekoprena dan Pureprena, dan komponen getah automotif turut dipamerkan di reruai MRC. Beberapa pengeluar telapak tayar Malaysia turut menyertai pameran ini termasuk Sun Rubber, Kayel, Max Rubber dan Eversafe Rubber. Sepanjang pameran yang berlangsung selama tiga hari itu, MRC menerima bilangan pertanyaan perdagangan yang berkualiti dan menggalakkan.
Bagi mempertingkatkan lagi kehadiran MRC di pameran serta komitmen MRC dalam mempromosikan telapak tayar berkualiti tinggi, satu iklan yang menarik perhatian telah diletakkan secara strategik di pintu masuk utama dewan pameran untuk menarik jejak pengunjung ke reruai MRC. Menteri (Ekonomi) dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Cik Kavitha Mathuvay juga telah melawat reruai MRC dan terlibat dalam perbincangan yang mendalam dengan pengeluar telapak tayar Malaysia.
Edisi Tyrexpo Asia seterusnya dijadualkan pada 2024 di Bangkok, Thailand.

17 MAR 2023
Promosi Telapak Tayar Berkualiti di Tyrexpo Asia

MRC Akan Mempromosikan Komponen Getah Automotif di Automechanika Kuala Lumpur
MRC akan menyertai Automechanika Kuala Lumpur (AMKL) yang merupakan salah satu pameran terkemuka untuk industri perkhidmatan automotif bagi pasaran ASEAN yang bakal mengumpulkan sekitar 300 peserta dan 8,000 pelawat dari serata dunia di bawah satu bumbung. Pameran ini dijadualkan untuk berlangsung selama tiga hari dari 16 – 18 Mac 2023 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur, Malaysia.
Pameran ini bertujuan untuk mempamerkan transformasi industri automotif Malaysia dari segi pembuatan, elektrifikasi dan perkhidmatan yang memainkan peranan penting untuk menarik perhatian dan aliran pasaran global. Aktiviti pinggiran seperti bengkel, program latihan, hiburan, persidangan dan perbincangan bersama pakar industri turut dianjurkan sepanjang pameran berlangsung.
MRC akan menampilkan pelbagai produk getah seperti komponen getah automotif, telapak tayar dan bahan tayar celup, bahan getah khas (getah mesra alam) dan sarung tangan industri di pameran tersebut. Bersempena dengan penyertaan dalam pameran, MRC akan turut menganjurkan Global Sourcing Mission (GSM) yang merupakan program padanan perniagaan yang dianjurkan secara khusus untuk pembeli global mendapatkan produk getah berkualiti dari Malaysia.
Sertai dan lawati gerai MRC di Dewan 2, Gerai 2M35 untuk meneroka lebih lanjut tentang komponen getah automotif berkualiti tinggi buatan Malaysia.


02 MAR 2023
MRC Akan Mempromosikan Komponen Getah Automotif di Automechanika Kuala Lumpur

MRC Akan Menyertai Pameran di Tyrexpo Asia Buat Pertama Kali
MRC bakal membuat penampilan pertama di Tyrexpo Asia bagi mempromosikan produk getah berkualiti tinggi dari Malaysia, khususnya telapak tayar dan bahan tayar celup. MRC juga akan menyokong pengeluar dan pengeksport telapak tayar dari Malaysia iaitu Sun Rubber Industry, Eversafe Rubber Works, Maxrubber Industries dan Kayel Rubber Products yang turut menyertai pameran ini.
Tyrexpo Asia adalah salah satu pameran tayar terkemuka di Asia meliputi Radial Lori dan Bas (TBR), Luar Jalan (OTR), dan Radial Kereta Penumpang (PCR). Pameran ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands di Singapura dari 8 hingga 10 Mac 2023. Pameran ini menjangkakan kira-kira 6,000 pembeli berpotensi dari seluruh Asia, mempamerkan pembekal antarabangsa dan serantau yang terkemuka dalam tayar, peralatan, alat dan aksesori tayar dengan teknologi dan peralatan terkini serta amalan yang terbaik.
Kunjungi MRC di reruai C04 untuk menerokai lebih lanjut tentang telapak tayar dan bahan tayar celup buatan Malaysia yang berkualiti tinggi.

24 FEB 2023
MRC Akan Menyertai Pameran di Tyrexpo Asia Buat Pertama Kali

MRC Menerajui Penyertaan Terbesar Pemain Industri di Arab Health
MRC telah menyertai pameran Arab Health yang berlangsung dari 30 Januari – 2 Februari 2023 di Dubai World Trade Centre, Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Lebih 3,000 peserta pameran daripada lebih 70 negara telah mempamerkan teknologi penjagaan kesihatan baharu yang inovatif di perhimpunan terbesar untuk syarikat penjagaan kesihatan, teknologi dan produk di wilayah MENA. Pavilion MRC Malaysia menempatkan bilangan penyertaan terbesar daripada pemain industri getah Malaysia di dalam pameran yang diterajui oleh MRC, iaitu seramai 17 pengeluar dan pengeksport peranti getah perubatan (RMD). Pavilion MRC Malaysia mempamerkan pelbagai jenis peralatan perubatan getah berkualiti tinggi seperti sarung tangan perubatan, kondom dan kateter getah. Terdapat tiga lagi syarikat RMD Malaysia yang mengambil bahagian secara berasingan pada pameran tersebut.
Pavilion MRC Malaysia menerima jumlah pengunjung yang menggalakkan iaitu lebih 4,700 pengunjung sepanjang empat hari pameran berlangsung. MRC juga berjaya menyelaras 80 sesi padanan perniagaan di antara pembeli berpotensi dan pengeluar Malaysia di tapak pameran. Pengeluar dan pengeksport di Pavilion MRC Malaysia telah melaporkan hasil memberangsangkan dengan sasaran jualan sebanyak RM107 juta bakal direalisasikan dalam tempoh 12 bulan berikutnya.
Selain itu, satu sesi ceramah transformatif anjuran MRC yang diadakan di lokasi pameran pada hari pertama pameran berlangsung yang bertajuk "Pengeluar Sarung Tangan Malaysia: Peneraju Global dalam Sarung Tangan Getah Inovatif dan Lestari" telah menerima jumlah kehadiran yang sangat baik dengan lebih 90 orang peserta. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Dr Supramaniam, presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).
Edisi Arab Health yang seterusnya dijadualkan akan berlangsung dari 29 Januari – 1 Februari 2024 di lokasi yang sama.

15 FEB 2023
MRC Menerajui Penyertaan Terbesar Pemain Industri di Arab Health

MRC Akan Menerajui Pengeluar Malaysia di Pameran Kesihatan Terbesar di Timur Tengah
Arab Health edisi 2023 akan kembali ke Dubai World Trade Centre dari 30 Januari – 2 Februari 2023 dengan tema, 'Inovasi dan Kelestarian dalam Penjagaan Kesihatan'. Arab Health adalah pameran kesihatan terbesar di Timur Tengah yang menghimpunkan pemegang taruh utama untuk bekerjasama dan menjadikan penjagaan kesihatan sebagai industri impak yang lebih mampan dan positif melalui penyelesaian yang mampan dan inovatif. Acara tahun ini dijangka menerima lebih 3,000 peserta pameran dari 70 negara dan 51,090 pelawat secara langsung. MRC akan menerajui 17 pengeluar dan pengeksport peranti perubatan getah dari Malaysia di bawah Pavilion MRC Malaysia.
Bersempena dengan penyertaan di dalam pameran itu, MRC akan mengaturkan satu ceramah transformatif bertajuk "Pengeluar Sarung Tangan Malaysia: Peneraju Global dalam Sarung Tangan Getah Inovatif dan Lestari" yang akan disampaikan oleh Dr Supramaniam, presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA). Semua pengimport, pengedar, pengeluar, peniaga, ejen dan kakitangan profesional dari sektor penjagaan kesihatan dijemput untuk menyertai ceramah tersebut pada 30 Januari 2023, jam 3 petang di Zon Transformasi. Zon Transformasi ialah kawasan khusus untuk semua inovasi dalam penjagaan kesihatan yang ditonjolkan ketika pameran berlangsung.
Sertai sesi ceramah transformatif kami dan lawati Pavilion MRC Malaysia di Trade Centre Arena, Booth SA.L19 di Dubai World Trade Centre untuk mendapatkan pelbagai jenis peranti perubatan getah berkualiti tinggi dari Malaysia di Arab Health 2023!

17 JAN 2023
MRC Akan Menerajui Pengeluar Malaysia di Pameran Kesihatan Terbesar di Timur Tengah
